04 January, 2010

Laskar Pelangi



Ada membaca tentang kemenangan filem ini sebagai Filem Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-53. Ingatkan hanya ada lagu yang bertajuk Laskar Pelangi. Tidak tahu itu lagu tema filem ini. Tidak tahu filem ini di adaptasi dari novel best-seller di Indonesia, karya Andrea Hirata. Sungguh tak tahu semua itu. Waktu itu, terbit rasa ingin tahu akan kehebatan Laskar Pelangi yang dimaksudkan.

Pertama kali termenonton filem itu adalah di kaca TV (yolah kan, takkan termenonton dalam mimpi atau dalam mangkuk kaca Nujum Pak Belalang pulak, aperlah aku ni :P). Tak sangka ABO sudah menayangkannya (aku yang ketinggalan sebenarnya). Bagaikan pesanan hati telah di bawa angin lalu menyapa sang ASTRO. Hahah. Kali pertama tonton, filem itu sudah ditayang sekerat jalan. Adik ipar aku bagitahu kawan dia beria-ia usulkan dia tonton filem ini. Jadi kami layan. Menarik. Rasa tak puas hati sebab tak dapat tengok dari awal cerita. Jadi tertunggu-tunggu untuk siaran ulang-tayang. Kali kedua, hanya berjaya menonton selepas hampir setengah jam ditayangkan. Isk...tak puas hati lagi. Malam semalam barulah puas hati bila dapat tengok dari awal hingga akhir, walaupun harus bersengkang mata sampai jam 1 pagi. Aku dapat tidur sebelah Ikal lagi. Hahahahaha. Dan-dan tukar nama si kinting jadi Ikal. Kesian budak kecik domok itu jadi mangsa. Nanti ibu beli novel ini untuk bacaan kamu kelak ye nak. Supaya kamu dapat mensyukuri nikmat yang kamu miliki. Supaya kamu hargai ilmu dan bermotivasi untuk menjejakinya tanpa jemu dan yang paling penting semoga ilmu yang kamu perolehi bukan sekadar dinilai dengan kecemerlangan duniawi tetapi mampu mendidik hati. Seperti kata Pak Harfan, jadilah manusia yang memberi sebanyak-banyaknya bukan yang menerima sebanyak-banyaknya. Pesanan untuk diri sendiri juga.

Secara peribadi, cerita ini sangat membekas di hati. Menyentuh rasa ihsani diri. Aku mengagumi semangat setiap seorang Laskar Pelangi. Mereka anak-anak dari keluarga miskin yang gigih menimba ilmu dan mengembangkan potensi diri. Mereka masih anak-anak tetapi terdewasa dengan keadaan mereka. Bicara dan telatah mereka lunak. Maka itu, aku masih boleh ketawa gelihati tiap kali sampai pada babak-babak yang mencuit hati. Suka juga dengar dialek Belitung yang digunakan. Lain dari bahasa Indonesia standard. Begitu gayanya cakap-cakap orang Sumatera ye? Tahniah untuk anggota produksi. Tahniah kerana anak-anak tempatan Belitung yang dipilih untuk membawakan watak-watak Laskar Pelangi, sangat menjadi dan menjiwai. Selain ini, aku tiada ulasan ala-ala tokoh seniman yang punya kewajaran dan ilmu untuk mengulas dan mengkritik filem-filem sebegini. Itu hanya pandangan naif aku yang tersentuh dengan paparan jujur survival warga Belitong khasnya Laskar Pelangi.

Siapa yang sudah tonton filem ini? Atau ada tak siapa-siapa yang sudah khatam novel terlaris itu? Apa kata kamu?

No comments:

Post a Comment

care to drop a comment? thanx! ;-)