30 August, 2012

Cepat dimasak, sedap dimakan


Lagi resepi campak-mencampak.
Aku guna drumet & kepak tengah bersalut dari Ayamas (nak guna ayam biasa pon boleh je). Goreng garing-garing dan ketepikan. Kemudian, tinggalkan sedikit minyak untuk menumis. Masukkan beberapa helai daun kari, goreng hingga naik bau. Masukkan 2 biji bawang merah, 2 ulas bawang putih, 1/2 inci halia (yang telah dikisar/ditumbuk) dan tumis sehingga naik bau juga. Kemudian masukkan 2 sudu besar cili boh dan goreng hingga garing. Selepas itu, masukkan sos cili Thai &  sos tomato secukup rasa. Tambahkan setengah cawan air. Masukkan seketul kiub ayam & garam secukup rasa, kacau hingga sebati.  Setelah kuah agak pekat, masukkan drumet & kepak yang telah digoreng tadi. Gaul sebati. Taburkan hirisan bawang besar & daun sup. Boleh juga gantikan daun sup dengan daun ketumbar dan daun limau untuk rasa yang lebih authentic. Gaul rata untuk rasa sekata.
 Siap untuk dihidangkan :-)

29 August, 2012

Kehilangan dan pengorbanan

Semalam aku dikejutkan dengan khabar kematian isteri kepada seseorang yang aku kenali. Walaupun aku sekadar mengenali beliau atas dasar kerja sahaja, perkhabaran tersebut cukup membuatkan aku terharu. Isteri beliau meninggal di dalam kemalangan pagi semalam. Kereta arwah terbabas hingga menyebabkan kereta tersebut remuk teruk dan terbalik dan arwah meninggal di tempat kejadian. Kesayuan jelas terasa sewaktu aku dan rakan-rakan sepejabat hadir melawat di Bilik Mayat, Unit Forensik, Hospital Serdang semalam. Melihatkan wajah sugul seorang suami yang tidak mampu menahan perasaan setiap kali didatangi dan didakapi oleh ahli keluarga,saudara-mara & rakan taulan, membuatkan naluri kami tersentuh. Nampak jelas beliau terasa dengan pemergiaan isteri tercinta. Paling tidak tahan, sewaktu kami hendak pulang dan menyampaikan ucapan takziah kepada beliau, dengan air mata yang masih bersisa dan mata yang bengkak merah sambil mendakap anak si bongsu berumur 9/10 tahun, beliau mengangguk lemah. Sungguh la kami terasa hendak menitik air mata. Masing-masing berfikir, bagaimanalah perasaannya kalau keadaan seumpama itu terjadi kepada kami. Mampukan kami menghadapinya. Masing-masing terbayangkan suasana beliau suami isteri sebelum kejadian yang sama-sama sibuk bersiap menguruskan anak untuk ke sekolah, menyiapkan diri untuk ke pejabat dan mungkin sarapan bersama. Mungkin mereka juga bersembang seperti biasa tanpa mengetahui semua yang mereka lakukan itu adalah yang terakhir untuk mereka. Insaf rasanya kerana ajal maut itu hanya Dia yang tahu. Timbalan Pengarah aku ada bercerita, katanya sewaktu bulan puasa lepas, sewaktu beliau dan Encik tersebut bersembang kosong selepas mesyuarat, Encik tersebut ada menyatakan mungkin tahun ini dia tidak dapat membuat rumah terbuka seperti Syawal-syawal yang lepas kerana isterinya tidak larat. Siapa kan menyangka tanda-tanda itu sudah ada. Kami terus muhasabah diri. Semoga roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh. Al-fatihah, amin.

Semalam juga aku ada terbacakan sebuah kisah pengorbanan tidak berbelah bahagi seorang suami yang beliau abadikan di sini. Kisah Abang Abil yang begitu gigih dan optimis menjaga isteri kesayangan yang mengalami penyakit saraf otak akibat dari serangan asma yang beliau hadapi pada Jun 2011. Aku doakan semoga abang Abil sentiasa diberi kekuatan, kesabaran dan kemudahan dalam menempuh hari-hari mendatang untuk terus menjaga dan menguruskan Kak Gee. Semoga Allah makbulkan doa Abang Abil untuk melihat Kak Gee kembali sihat. Amin ya rabbal alamin. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul dan kepada hamba-hamba Allah sekalian alam yang ingin turut membantu meringankan beban Abang Abil, boleh lawati fanpage Dana Sinar Fauziah atau hubungi beliau di alamat & no. telefon berikut :

En. Abil Fikri Ahmad,
36, Taman Sri Putih,
Jalan Tok Ungku,
70100 Seremban, 
Negeri Sembilan Darul Khusus

Landmark: Berdekatan Tol Seremban - Port Dickson.

No. telefon : 016-2634258

Juga boleh terus salurkan sumbangan ke akaun bank CIMB beliau : 0506-0040577-52-1 

Picture credit to Fanpage Dana Sinar Fauziah
Picture credit to Fanpage Dana Sinar Fauziah
 Marilah kita sama-sama doakan untuk mereka :-)

28 August, 2012

Pffftttt...

Sebenarnya hajat dihati hendak kemaskini blog dengan cerita raya tetapi gegambar raya dalam simpanan kamera picisan hanya ada 7 keping sahaja dimana 5 keping adalah gambar adik aku laki bini, sekeping gambar si kinting bersama ibu saudara & sekeping gambar aku single-mingle. Selebihnya diambil menggunakan kamera canggih orang. Beginilah nasib menumpang berfotogedik dengan kamera orang, selagi orang tak bagi atau tak update kat FB, nganga ajelah tengok gambar raya orang lain yang berwarna warni ceria Aidilfitri.

Walau hari ni baru mula kerja kembali, tetapi perasaannya macam separuh jiwaku pergi. Kalau boleh nak sambung MC cuti lagi. Sudahlah Khamis sebelum raya sudah ambil emergency leave. Eh, alamak! Baru teringat borang cuti kecemasan tak isi lagi...adoiyai. Haih..haih..haih.

Hurm..separuh hari ni telah dilalui dengan sengal-sengal ubi kerana:

Satu : pagi-pagi beramukan sebab si kinting buat perangai nak bawa set melukis Disney Princess pergi sekolah. Aku dah packing elok-elok toiletteries, pakaian, tuala & roti tapi dia sibuk punggah nak masukkan dalam beg lain yang besar sikit. Motif? Nak seludup set Disney Princess untuk di'eksen'kan di hadapan kengkawan. Takpe, ibu bagi 'can', bukan 'can' nak bermegah dengan orang tapi 'can' melayan karenah kamu sebab aku tak kuasa nak melayan rempanan si anak..kalau petang ni set melukis tu lesap, kamu siappppppp.  Budak kinting ni, kawan dia amik baju/seluar sekolah dia pun dia boleh cakap tak apa. Sudahnya uniform sekolah dia dari ada 2 pasang dah tinggal sepasang, baju sukan pulak dah tinggal tracksuit aje, t-shirtnya dah bertukar dengan ntah siapa. Yang ada kat rumah aku tu t-shirt sekali ganda kecik dari saiz dia. Bila tanya cikgu, katanya selagi takde ibu bapa yang pulangkan, diaorang pun tak boleh buat apa..maka kau sarunglah t-shirt sendat tu ye nak T__T

Dua : Pas kerja tertinggal. Berkurunglah aku di dalam kawasan pejabat aku sahaja i.e seksyen aku yang di tingkat 10 itu. Tadi pagi nak pegi tapau sarapan pun pinjam pas kawan. Mujur la pundi kencing aku behave pulak hari ni, kalau tidak mahu aku mengagau pinjam pas orang nak ke tandas sejam sekali.

Tiga : Kain baju kurung berlubang. Ok..memanglah tak berapa obvious, tetapi macam tak semenggah aje keadaanya. Masa aku iron pagi tadi tak perasan pulak ada kesan carikan bentuk L kat hujung kain..kalau tengok dari atas nampak la macam ada lubang. Nak jahit pun confirm nampak tak kena gaya sebab dia koyak akibat carikkan di tengah-tengah kain, jadi kalau jahit pun nampak macam bekas tampalan, maka lepas ini baju ini akan jadi baju contoh untuk aku hantar ke tailor aje, takdelah kecewa sangat rasanya, huhu.

Empat : Tapak kasut raya tertanggal. Dem. Baru pakai tak sampai 2 minggu dah tertanggal tapak, hampeh betol. Bukannya aku lenjan beria pun. Masa raya kat kampung, pergi beraya rumah saudara-mara pakai selipar oren cap Asadi je. Baru pijak lecah sikit dah rosak tapak. Mencik. Erm, ok-ok..kasut murah je pun jadi jangan nak banyak bunyi. Balik nanti boleh gamkan balik sendiri.

Okaylah, untuk menambahkan kesengalan ubi pada hari ini, mari kita bersembang dengan Simsimi..hihi.

25 August, 2012

Hasil kerja menyambut Syawal


My beading project. Ini sahaja yang termampu dengan skill tuan tanah yang seadanya. Sepatutnya projek berjalan untuk 3 pasang baju raya, tapi hanya berjaya sudahkan untuk sepasang sahaja akibat kesuntukan masa. Apapun, tercapai juga hajat aku untuk manikkan baju anak dara ku nan seorang itu. Jadilah kan.




Tahun ini kali pertama aku menerima tempahan untuk buat kek raya dari kakak sepejabat; kek marble & kek lobak. Berdebar-debar rasanya siapkan kek orang. Mana taknya, kalau buat untuk diri sendiri, terlebih terkurang tu telan ajelah tapi bila buatkan kek untuk orang, risau hasilnya tak menepati selera atau kehendak pelanggan, kasihan mereka dikecewakan..huhu.  Apapun, macam tak percaya pulak ada yang sudi jadi pelanggan kek buatan aku, huhu. Tapi kan, akak tu takde bagi apa-apa respon pon sejak aku hantar kek tu kat dia tempoh hari..tertanya-tanya juga hati ini..adakah kek itu sedap tak terhingga atau tak sedap sampai tak terkata? *cuak* Katakanlah kak...katakan, jangan biarkan aku tertampi-tampi..eh silap, jangan biarkan aku syok sendiri walau decorations giler obvious kerastangan..wuwuwu.

Apapun, di bawah adalah senarai harga pengenalan kek yang dibicarakan..ahaks;

Kek marble 1kg = RM 15
Kek lobak dengan cream cheese topping  1kg = RM 45

Untuk tempahan sekitar Lembah Klang, Putrajaya, Bangi, Dengkil, Salak Tinggi, Shah Alam & Nilai (bajet yakin dapat tempahan kononnya..saja la nak test market..hihi), sila hubungi 013 - 2770270 atau chempaka_aurora[@]yahoo[dot]com.

Terima kasih.

17 August, 2012

Iklan Gratis III - Kristal of Sakura

Anda tercari-cari tudung/hijab menarik untuk digayakan di hari lebaran?  Kecewa tudung pilihan sentiasa menjadi rebutan & anda gagal memilikinya? Takpe..takpe, Kristal of Sakura ada menawarkan koleksi tudung/hijab yang unik untuk anda. Mana tahu, hati yang kecewa terubat dengan koleksi yang ada..antaranya:


 Shawl Kristal Butterfly


Contoh perincian Kristal Butterfly


Tudung Kristal Nurjuma

Tudung Kristal Bom

Jika berminat, cepat-cepat PM Kristal of Sakura di Facebook ye!

13 August, 2012

Kemengantukan yang amat

Iya, aku kemengantukan sangat-sangat ketika ini. Mengantuk tahap gaban kacuk tahap dewa. Menguap sampai tertanggal-tangal kerongsang tudung. Ramadhan tahun ini aku semacam letih lebih dari selalu. Hendak kata letih sebab kerja, kerja macam biasa, walau ada tugasan luar masih boleh balik hari. Kerja rumah pun aku buat mana yang terdaya aje, takde kuasa hendak berhempas pulas beria. Kelas pun dah takde, cuma tiap-tiap Ahad 3 minggu berturut-turut perlu menghadap peperiksaan akhir dan paper paling horror telah diduduki semalam. Sungguh mentality traumatized dengan soalan-soalannya, mintak-mintaklah aku tak mengulang..ku mohon pada-Mu Ya Allah, amin.

Disebabkan semalam stress dengan last paper, maka mood untuk memasak juadah berbuka adalah gone with the wind. Tekak adalah kemaruk hendak makan Kenny Rogers, tapi bila telefon untuk menempah tempat (branch Alamanda, IOI Mall & Jusco Equine), semua penuh. Steamboat Antarabangsa & Al-Sinni di Bangi pun penuh.  Akhirnya makan juadah Bazar Ramadhan, Presint 2 aje. Jadilah walau tak berapa nak kena dengan selera. Dan demi untuk melepaskan kekecewaan yang masih membungkam,  lepas siap-siap solat, aku memulakan beading project yang tertangguh pula. Baru buat 7 kuntum baby rose pun makan berejam. Memang dasar kerastangan. Itupun ada hati nak berliplapliplap di pagi Syawal. Sebenarnya aku nak touch-upkan baju raya si kinting sebab aku belikan kain kosong aje. Tengoklah, kalau menjadi beading project tu, aku share kan ye. Kalau ye, kalau.

Hari ni sepatutnya mula kelas pertama bagi semester pendek, tapi aku masih di persimpangan dilema nak menghadirinya. Sadis kot bulan puasa tahun ni, dengan final examnya, semester barunya. Persiapan raya nan hado. Cita-cita nak berprojek kuih raya pun macam sampai tak sampai aje. Juadah berbuka pemberian jiran tetangga pun belum sempat aku balas. Ada la sekali aku bagi penne carbonara, itu ajelah. Segan juga pinggan mangkuk jiran tak dipulang-pulang. Lagipun, sepanjang Ramadhan ini aku masih takde kesempatan untuk memasak juadah yang istimewa. Itu yang takde entri Ketuk-ketuk Ramadhan tahun ni. Takat jamu mata tengok hidangan istimewa kengkawan aje la. Huii..hebat-hebat belaka weh. Kagum ai.

Hurm, tetiba teringin nak makan ikan cencaru sumbal sambal. *telan ailio*

06 August, 2012

My all-time favourite : Kuih raya

Putu kacang air tangan Makcik Juli. Juga dibantu oleh Pakcik Harun & Yaya (my niece). Pemberian mak aku untuk raya katanya. Tapi dari sebalang sudah tinggal suku. Rupanya si kinting pun suka. Menurun kesukaan si atuk & ibu. Walau bahan-bahannya mudah & murah tetapi prosedur untuk membuatnya yang renyah, maka belum lagi sampai seru untuk aku membuatnya sendiri. Yang pasti, putu kacang ini sangat old school, kan?

05 August, 2012

Macam-macam

1. Ada satu pagi, dalam pada aku sibuk siap-siapkan diri nak pergi kerja, aku biarkan si kinting siapkan diri untuk ke sekolah. Memang semenjak dua menjak dia berperasaan 'dah besar macam kakak' ni, aku biarkan dia siapkan diri sendiri. Kemudian dia minta aku betulkan (terbalikkan bahagian luar) t-shirt sukan dia sebab usaha sendiri tak berjaya. Maka aku buatkan lah. Lepas tu, elok pulak aku sarungkan tangan aku kat lengan baju budak kecik tu sambil mengomel, heii..apersal la t-shirt ni kecik semacam haaa? Eh-eh,baju anak aku. Patut laaaa.

2. Aku sekeluarga telah berbuka dekat luar pada hari ke-8 Ramadan. Aku perhatikan kebanyakkan meja yang ditinggalkan pelanggan selepas menjamu selera macam diserang garuda. Nasi bertaburan ke lantai. Atas meja tak usah cakap la dia punya bersepah. Macam sambil makan sambil berantakan. Itu belum masuk sisa buangan tisu merata-rata. Kalau tengok pada si tukang makan bukan main nampak tertib sopan dan kemas orangnya tapi bila dah makan macam itu pulak gayanya. Mentang-mentang kita makan tu kita bayar, tapi pekerja kedai pun bukan la balaci nak mengemas hasil ketidaksenonohan kita.

3. Waktu orang lain bertungkus-lumus belajar sehari sebelum kertas pertama peperiksaan akhir, aku sibuk menghadiri kelas mekap pengantin. Konon nak asah bakat, sekali sampai tempat bengkel, aku antara yang tak terasah bakatnya. Huhu. Terkial-kial aku nak guna bebarang mekap tu semua. Orang pakai concealer sebelum apply foundation, aku letak foundation dulu. Orang pakai eyeshadow tak over, aku dah macam jelmaan drag-queen jadinya. Orang lain semua dah pro. Ada yang dah ambil kelas lebih dari 2 kali, yang ambil sampai 7 kali pun ada, nak mempertajamkan skill sedia ada katanya. Memang cuak la aku dikeliling peserta-peserta yang terserlah jelita hasil sentuhan tangan sendiri. Lepas kelas, aku biarkan mekap sampai ke rumah. Elok aje aku masuk rumah, si kinting pun puji, "Wah, cantiknya ibu..cantiknya mata ibu, cantik macam antuuuu." Hahaha. Haa..kau mampu cantik macam antu? Kalah Maya Karin tahu. *dalam hati ada awan yang terpilu* Moralnya, kena banyakkan praktis & kena ambil kelas mekap lagi. Jangan nak perasan sangat macam kau ni berbakat au naturale ye Nina.

03 August, 2012

Pernah tak?

Pernah tak kita rasa macam kita perlukan sangat akan sesuatu dan kita berharap sangat kita diberi peluang dan ruang untuk mendapatkan sesuatu itu walaupun lambat & berhalangan? Pernah tak kita merelakan diri melepaskan sesuatu yang kita berkehendakkan sangat dengan menerima keadaan tersebut secara berlapang dada? Pernah tak kita rasa dengan berbuat demikian, walaupun kita sedih dengan kehilangannya, hati kita diberi kegembiraan dan ketenangan yang tiada tandingnya? Pernah tak?