07 October, 2013

Sepi bukan membawa diri

Tajuk post kemain melankolik khenn? Blog yang sedia ada sendu menjadi bertambah sendu dek kerana terabai, semenjak dua menjak mood tuan tanahnya berlari ke hutan.

Perihal pelajaran
Alhamdulillah, aku dan sahabat-sahabat seperjuangan telah selamat menamatkan 3 tahun tempoh pengajian. Tidak lagi berkejar-kejar ke kelas selepas waktu kerja atau bergelumang dengan tugasan + kuiz + projek + presentation. In sha Allah, akan bergraduasi pada 28hb Okt ini (jika Allah mengizinkan). Aku melalui semester terakhir dalam keadaaan mabuk mak buyung & membawa perut yang disertai dengan dugaan-dugaan lainnya. Mujur segala kebuntuan diberikan jalan. Juga sokongan dan bantuan sahabat-sahabat seperjuangan terutamanya dari geng kamceng sepengajian aku, Nat & Wawa memberi harapan untuk aku tidak berputus asa di hujung perjalanan.

Perihal kehamilan
Sedang meniti minggu ke 38. Menghitung hari kaedahnya. Sangat suspen, tetapi sangat teruja juga. Suspen untuk mengulang rasa sakit bersalin. Teruja untuk menatap dan mendakap si kecil yang sentiasa berkuntau di dalam perut ibunya ini. Memang sangat berkehendak beliau dilahirkan secepat mungkin supaya aku mampu berkonvo tanpa berkerusi roda tetapi kita hanya merancang, Allah jua yang menentukan. Makanya aku pasrah, cepat atau lambat, yang penting biarlah aku dipermudahkan bersalin dan selamat semuanya. Kepada yang sudi mendoakan, doa kalian amat dihargai. Semoga Allah membalas kebaikan dan keprihatinan kalian buat mak buyung ini.


Hajat di hati ingin berceloteh lagi. Tetapi ada tugas lain yang menanti. Ada rezeki, panjang umur..aku mencoret lagi. Got to go.

24 July, 2013

Ini budak banyak kecoh

Perbualan 1:

Si kinting : Ibu, boy tak boleh masak ke?
Ibu: Boleh, kenapa pulak tak boleh.
Si kinting : Tapi babah tu, tak pernah masak untuk Anim. Dalam Masterchef tu, ada je boy masak.
Ibu : Err..babah tak pandai masak kot. Boy dalam Masterchef pandai masak.
Si kinting : Ye ke..mungkin babah MALAS tu.
Ibu : No comment. Mihmihmih.

Perbualan 2:

Si ibu sedang asyik melayan filem Spiderman. Perbualan tercetus semasa si Toby Maguire sedang beraksi menyelamatkan si Kirsten Dunst yang bergantungan di jambatan.

Si kinting : *dengan jelingan nakal* Takpe, nanti ibu suruh babah buat macam tu kat ibu ye.
Ibu : Eii, tak kuasa lah. Babah mana larat nak dukung ibu.


Perbualan 3:

Si ibu sedang 'feeling' tengok ulangan filem Istanbul Aku Datang. Part yang touching adalah semasa Haris  menenangkan Dian selepas insiden Azad kantoi bergirlfriend lain. Masa scene Haris basuhkan rambut Dian yang kotor terkena serangan aiskrim girlfriend Azad, si kinting tiba-tiba mencelah (padahal masa ni dia tengah sibuk main Playdoh)

Si kinting : Ibu nak suruh babah basuh rambut ibu macam tu ke? Nanti ibu suruhlah babah buat.
Ibu : Eh, ibu tak nak lah.

Motif kamu nak kaitan scene-scene romantik tu dengan babah ibu, dah kenapa ni nak?? Pengaruh Talking Tom & Angela kah ini?? Rasa macam aku dah uninstall apps tu dari tab dia. Haishhhh.


23 July, 2013

Ketuk-ketuk Ramadhoooon yang tak meriah

Aku rasa aku belum cukup hebat sebagai seorang isteri & ibu untuk memasak juadah berbuka. Tiap-tiap tahun juadah yang aku masak tidak mencapai ke tahap extravaganza, huhu. Sehingga hari ke -14 kita berpuasa ini, antara yang sempat aku hidangkan untuk santapan berbuka hanyalah :



Ini untuk hari pertama, tekak teringin nak makan ikan masak taucu, ditemani kacang buncis tumis dan telur dadar dan dimakan bersama nasi lembik. Motif nasi lembik? Waktu ini aku menderita gusi bengkak & sakit gigi geraham bongsu hasil jangkitan kuman selepas mencabut gigi geraham sebelah gigi geraham bongsu ittew.


Entah hari keberapa puasa, teringin pulak hendak makan sambal tumis sardin bersama lempeng. Selain lempeng, aku panaskan juga roti canai frozen, sebagai opsyen kepada lempeng untuk En.F.  Si kinting aku hidangkan lempeng dengan gula merah. Disantap bersama air soda gembira lalala. Alhamdulillah kenyang.


Bila dah berbuka dua beranak sahaja, ini ajelah yang tekak terasa teringin nak makan (padahal malas nak masak beria pun ye), ikan bilis goreng + bawang + cili padi + kicap, ulam kacang botol + tempoyak + cili padi & telur mata letak kicap + sos cili. Sampai ke sahur aku selera melantak. 


Tengok, boleh kata tetiap kali masak, mesti aku masak sesuatu yang ringkas, mudah & cepat kan? Maka jejemput ikan bilis + lobak merah & murtabak mi segera pun jadilah untuk berbuka. Aku buat juga jeruk bawang gaya suka hati sebagai pencicah murtabak. Yang jejemput tu, hampir sepiring si kinting aje yang makan. Tu belum masuk sup cendawan segera aku buatkan khas atas permintaan macamkan dia pun puasa juga. 3 mangkuk sekali hadap kau.


Yang ini adalah juadah ahad lepas. Bubur cha-cha gandum & mi kuah. Aku membayangkan nak buat mi kuah pedas kaw-kaw tapi entah macam mana, bila dah menumis segala, masuk sos cili, sos tomato, sos tiram & air kisaran kepala udang, bila dah makan, pedasnya ala-ala aje..dimonopoli rasa manis udang, aku tengok adik ipar & En.F makan licin, aku rasa ok la tu kot. Since si kinting pun boleh makan dengan bersahaja, kira cincailah. Lagipun, cik mek tu bukan boleh pedas-pedas sangat. 

Sepanjang pemerhatian aku, tekak si kinting ni lebih kepada pencuci mulut tradisional. Dia suka makan kuih seri muka pulut hitam, tepung pelita, peneram, karipap, kuih lapis & yang seangkatan dengannya. Kalau aku singgah bazar ramadhan, mesti kena layankan selera tradisional budak kecik ni. Tapi kekuih yang dia suka tu, aku pun suka, so weols jadi geng dalam bab ni :D

As mak buyung, ada juga la benda-benda yang aku ngidam. Setakat ni, aku dapat makan bubur berlauk buatan sendiri setelah terbayang-bayangkan kesedapan bubur berlauk orang Kuantan. Kalau ikutkan hajat hati memang nak pekena yang ori, sebab lagi banyak variety condimentsnya kan, tapi setakat ni masa tak mengizinkan nak balik bersantai berpuasa & berbuka bersama keluarga. Ramadhan tahun ini aku rasa mencabar sikit dengan keadaan aku yang memboyot, dengan nak menghadap final exam & siapkan projek tahun akhir, memang restless dibuatnya. Misi seterusnya, mau bikin bubur lambuk & ayam masak ungkep.

12 July, 2013

Moi qoutes

When something happens, the whole situation will change. It's not gonna be the same again. An awkwardness takes place. We just have to deal with it. People tends to put some perceptions on you - the good or the bad one. And yes, things would not be the same again. Sad but true.

10 July, 2013

Ku sambut kedatangan Ramadhan dengan senyuman dalam tangisan

1 Ramadhan 1434H sudah menjelma :-)


Ini adalah kali kedua aku menyambut Ramadhan sebagai mak buyung. Kali pertama, Ramadhan disambut dalam keadaan aku masih 'mabuk-mabuk kepayang', hanya berjaya berpuasa separuh dari sebulan, maka jenuh juga aku mengganti & membayar fidyah..huhu. Tahun ini, semoga aku diberi kekuatan untuk menyempurnakan puasa sebulan hendaknya walaupun sahur pertama ke laut sudah.

Kisahnya malam kelmarin aku tak boleh tidur disebabkan gigi geraham bawah belah kiri tiba-tiba sakit. Sebelum tidur, aku dah terasa gigi aku sengal-sengal ngilu sesikit tapi aku tak endahkan. Dalam pada nyenyak tidur, aku boleh bermimpi yang aku ni sakit gigi, kemudian rasa sakit gigi tu macam 'real' aje. Bila terjaga, memang sungguh aku sakit gigi. Berdenyut-denyut. Aku paksa juga diri untuk tidur sebab mengenangkan paginya nak bekerja tapi mata tak boleh lelap. Sebelum ke pejabat, sempatlah aku telan sebiji paracetamol untuk menahan sakit, tapi nan hado. Sakitnya makin mejadi-jadi, berdenyut & menyucuk-nyucuk sampai menangkap saraf tangan kiri. Makanya aku tekad pergi ke klinik untuk cabut gigi dengan harapan lepas cabut nanti, aman damailah kembali hidup ini untuk menjalani rutin sehari-hari.

Sesampainya giliran aku, doktor pun bertanya serba ringkas kronologi gigi yang sakit itu. Sebenarnya memang gigi geraham aku itu dah berlubang besar lama dah, memang sudah nyaris dicabut tetapi aku yang minta si doktor buat tampalan sahaja demi untuk menghilangkan sakit. Makan bulan jugalah tampalan itu bertahan tetapi nasib tidak menyebelahi aku semalam bila cik gigi dah mula meragam kembali. Pada mulanya, si doktor enggan cabutkan sebab katanya kalau gigi aku sakit, walaupun sudah dibius, aku akan sakit time dia 'grab' gigi tu sekiranya sakit aku itu berpunca dari nanah dalam gusi. Tetapi disebabkan gigi geraham tu pun dah bergoyang, dia kata dia akan cuba. Dan berjalan lancar lah prosidur mencabut gigi geraham aku itu tanpa sebarang rasa sakit. Aku tak habis breath in - breathe out pun lagi (konon nak kurangkan rasa sakit), tau-tau gigiku dah di hujung spanar. Dalam pada kebas-kebas herot-herot mulut tu, tersenyum lebarlah aku memikirkan 'yeay, no more toothache!'. Di tambah pula dapat MC, maka aku dah bercita-cita nak balik pejabat, kemas barang, balik rumah, lepak-lepak kejap, buat assignment Teori Asasi Sains yang tertunggak, pergi kelas terakhir untuk semester ini & kemudian balik rumah masak lauk sahur dengan gembira.

Malangnya, sebaik sahaja habis ubat bius, tempat cabutan mula berdenyut & menyucuk kembali. Masa itu jugalah Timbalan Pengarah aku request nak jumpa untuk perbincangan trivia seksyen, immidiate bos nak jumpa untuk confirmkan status pengujian FAT,  diminta uruskan beberapa hal untuk Program Ihya Ramadhan anjuran PUSPANITA & request dari beberapa rakan sepejabat untuk dapatkan salinan assignment. Sudahnya aku 'burn'kan sahaja MC aku. Aku ingat aku mampu bertahan untuk ke kelas sebelah malamnya, tetapi harapan tinggal harapan. Menjelang petang, sakitnya makin 'happening'. Aku paksa diri untuk ambil si kinting di tadika, tangan dah mengigil-gigil pegang stereng. Rupanya sakit yang ada menangkap sampai ke bahagian atas gigi, leher & tangan kiri. Hazabbbbbssss. Dek kerana sakit sangat, aku makan lagi 2 biji paracetamol yang dibekalkan klinik, tapi sikit pun tak bagi kesan. Serba tak kena aku jadinya. Baring salah, duduk salah, berdiri salah. Macam-macam cara aku buat untuk kurangkan rasa sakit. Orang kata minum air berais, aku minum...tuam pipi dengan ais, aku tuam...berkumur dengan air garam, aku kumur, tapi satu pun tak menjadi. Sakit lagu tu juga. T_________T.

Pada aku, inilah insiden sakit gigi yang paling teruk pernah aku experience. Sebelum-sebelum ini, kalau sakit gigi, paling-paling pun..sakit tu terasa masa nak mencabutnya sahaja, kemudian lega. Ini bersambung-sambung sakitnya. Sadisssss. Sadis juga bila melihat si kinting terkontang-kanting melayan diri sendiri. Mujurlah aku dah minta En.F siapkan susu dia sebelum En.F keluar berniaga. Entah pukul berapa aku terlelap pun aku tak pasti, tahu-tahu dah dengar azan Subuh saja. Syukurlah sepanjang pagi ini, aku cuma terasa ngilu & sengal-sengal sikit. Andaikata keadaan masih tak berubah, memang aku plan nak pergi semula ke klinik semalam, amik MC lagi & check apa yang tak kena. Aku bukan apa, risau kot ada nanah dalan gusi atau ada tunggul yang tertinggal sampai aku sakit macam tu sekali. Kalau kes cenggitu, memang kena undergo minor surgeri (Oh tidakkk!!) Tapi bila digoogle-google, mungkin aku boleh simpulkan yang aku ni mengalami bentan gigi atau sakit gusi. Rupanya memang normal sakit selepas cabut gigi geraham ni. Haih..kisahnyerrrrr. Trauma aku weh..trauma.

05 July, 2013

Ku panjatkan kesyukuran

Dengan izin Allah, jika tiada aral, keluarga kecil aku akan menyambut kedatangan ahli keluarga baru sekitar bulan Oktober nanti. Sekarang aku berada di dalam trimester ke-2, 6 bulan ++ dan akan memasuki trimester ke-3 hujung bulan ini. Seperti kata-kata para ibu yang berpengalaman mengandung dan melahirkan berkali-kali, lain kandungan, lain ragamnya. Cenggitulah aku, ada yang sama aje macam kandungan pertama, ada juga merasa pengalaman baru.

Dari segi alahan, kalau dulu aku mengalami morning sickness yang teruk. Kali ini, di waktu pagi aku rasa loya-loya aje. Tetapi loya sepanjang hari & muntah-muntah di malam hari. Walaupun loya-loya tetapi aku lebih berselera jika hendak dibandingkan sewaktu mengandungkan si kinting dulu. Sebab itulah, waktu kandungan masuk 4 bulan, berat badan aku dah sama macam berat badan aku waktu nak melahirkan si kinting 5 tahun lepas. Nak menyampaikan 9 bulan ++, membesar bagaikan johan lah agaknya. Walaupun selera makan itu ada, tidaklah semua makanan mampu aku telan. Cuma kalau dulu, asal makan..muntah, asal makan..muntah..kali ini adegan itu terjadi di waktu malam sahaja. Waktu siang, in sha Allah apa yang dimakan, selamat dihadamkan. Jika adapun, boleh kira dengan jarilah berapa kali aku muntah waktu siang.

Selain loya & muntah, alahan yang paling sadis adalah air liur. Ya, kalau boleh setiap 2 minit aku nak meludah. Tiba-tiba aku rasa penghasilan air liur aku adalah lebih banyak daripada biasa, bukan setakat banyak, lebih pekat dan mulut sentiasa terasa seperti sedang mengemam duit syiling. Sebab itu kot, aku sentiasa pastikan ada benda untuk dikunyah, tiap-tiap kali pergi ke kelas, mesti ada bekal..be it gula-gula, asam, buah, kekacang, coklat. Sampaikan kengkawan aku pun siap sediakan kudap-kudapan untuk aku, terharu ai yu. Masa di awal trimester dulu, aku berharap jugaklah, alahan dek perubahan hormon ini akan hilang bila masuk 2nd trimester, huh..berangan ajelah. Sampai sekarang rasa tidak sedap mulut disebabkan air liur itu masih terasa, cuma tak sebanyak dulu.

Dan antara peel aku untuk kandungan kali ini adalah alahan bau yang melampau. Aku bukan setakat tak boleh bau nasi, tumis-menumis ni..bau syampu, cecair mandian, cecair basuhan, pelembut fabrik, bedak, minyak wangi hatta bau badan En.F & si kinting pun aku tak boleh tahan. Sudahnya aku mandi pakai sabun & syampu seminima yang boleh, baju bajan kalau aku yang basuh..aku letak sabun basuh & pelembut fabrik tu sikit aje. Aku rela tukar pakaian kalau pakaian yang aku pakai tu terlalu semerbak baunya. Muka ni pun, memang beralaskan bedak Aiken atau Agnesia sahaja. Macam sahaja mengada-ngada pulak kan bunyinya..tapi itulah penangan kandungan kali ini. Mujurlah En.F memahami, si kinting pun sama. Pernahlah dia tengok aku terbaring..melepek depan TV, dia buat sendiri susu tanpa banyak bunyi. Sedar-sedar aje, aku tengok dia tengah sungguh-sungguh mengoncang botol. Makan pun layan diri, korek apa yang ada di dapur. Memang selalunya lepas ambil dia dari Tadika, aku akan bawa dia makan dulu tapi kalau dah memalam & dia terasa nak mengudap, dia buat sendiri. Tapi itu masa awal-awal mengandunglah, sekarang bakal kakak sudah mula tunjuk belang daa...mintak itu, mintak ini. Kekadang nak mandi pun, sibuk nak aku yang mandikan. Takpelah, mana yang mampu dilayan, layankan ajelah walaupun ada waktunya rasa senang benar nak naik darahnya.

Dari segi kesihatan, alhamdulillah setakat ini baby dalam keadaan sihat walaupun aku paranoid terlebih. Nanti-nanti aku cerita apa yang aku paranoidkan sangat. Cuma kesihatan aku ajelah tak berapa memberansangkan, low hb. Sama macam dulu. Muka pun pucat semacam & cepat aje rasa letih. Sampaikan KK minta aku refer pada pakar pemakanan. Dah 2 kali re-schedule, tapi haram aku nak pergi. Masih takde kesempatan sebab kebetulan sebulan dua ni, aku kerap berulang-alik kerja luar di Melaka.  Temujanji check-up, minum air gula & ujian darah pun dah berapa kali aku re-schedule, mujur la yang ni semua aku dah settlekan. Cuma tunggu untuk check-up bulan 7 & minum air gula masa 7 bulan nanti pulak. Selain itu, kerap juga lah aku demam, cuma setiap kali demam, aku cuba usahakan demam tu tak melarat-larat. Risau juga kalau sampai beri kesan pada baby, tapi minta dijauhkanlah. Sejak dah boleh rasa dia bergerak dalam perut, aku sentiasa monitor pergerakkan dia. So far so good. Senak-senak rusuk pun, ibu pasrah nak.

Dari segi study plak, awal-awal semester dulu, ada juga lah aku absentkan diri, tapi bila sedo banyak benda nak kena catch up maka cuba jugalah gagahkan diri seret kaki pergi kelas.  Mujur lah, ada kawan-kawan yang sudi nak salinkan nota/latihan, share notes & bagi tunjuk ajar mana-mana yang aku lost dulu. Hanya Allah lah yang dapat membalas jasa kalian (you know who you are). Hurm, macam ni rupanya rasa belajar sambil membuyung..huhu. Semoga aku diberi kemampuan untuk menghabiskan semester akhir pengajian walaupun sekarang tengah serabut perut nak siapkan FYP. Memang kelaut sudah. Takpelah, ini semua cabaran bukan rungutan. Aku tau ramai wanita - wanita macam aku di luar sana yang dah berjaya melepasi keadaan cenggini so chaiyook ibu, chaiyook baby :D

si budak aktif dalam perut ibu sewaktu 23 minggu 3 hari



3 times in a row..

aku lewat masuk pejabat minggu ini, dam dam dum sungguh. Kali pertama lewat 5 minit, kali kedua & ketiga lewat 1 minit T__T  Inilah cara-cara pekerja 'cemerlang' ye. Minggu ni aku lemau sikit. Lepas balik dari ber'family trip' di Janda Baik hujung minggu lepas, aku demam, si kinting demam. Hari Selasa, demam si kinting dah kebah, badan aku masih dedar-dedar. Kelmarin, tiba-tiba aku rasa badan aku seram sejuk balik. Pening kepala, hidung berdarah, tekak rasa loya macam nak muntah, perut pun rasa tak sedap, memulas aje. Ada la 4,5 kali juga aku buat lawatan ke toilet. Dalam pada berkeadaan begitu, aku redah juga pergi kelas, ada presentation akhir untuk subjek Pengurusan Perisian. Masa badan mula-mula terasa malam Isnin tu, aku syak aku ni demam urat aje. Demam sebab penat. Tapi bila dah masuk 4 hari demamnya on & off gitu, aku cuak juga. Nak kata denggi, takde pulak tanda bintik-bintik di badan. Puas aku belek. Nak kata keracunan makan, kalau nak terceri-beri tu harus dah tak mampu  tahan-menahan. Tapi yang ini, memulasnya kejap-kejap & masih boleh ditahan-tahan..huhu. Hari ni badan aku masih dedar lagi, cuma kepala tak berasa berat & badan-badan tak terasa sengal. Mungkin sebab semalam, lepas balik pejabat aku dapat berehat awal (sepatutnya aku ada kelas tapi disebabkan pejabat lama En.F ada organize farewell dinner untuk dia, maka aku kenalah jaga si kinting. Tak yakin aku nak heret dia ke kelas, bukannya dia boleh duduk diam, kang teori sains komputer aku ke mana, aku pulak yang berpencak dalam kelas..maka ahkak redho ajelah memonteng). Aku ingatkan malam semalam tu kira dah last class untuk semester ni, rupanya bersambung ke minggu depan, di malam awal Ramadan. Beginilah kehidupan pelajar tua separuh masa, huhu. Haa..tu dia aku punya alasan lambat masuk kerja, agak-agak Pengarah aku nak terima ke idok ye. Kalau immidiate boss boleh tandatangankan punch card aku takpe juga, ini..hendak tak hendak..merasalah mengadap Pengarah Seksyen (kena tunggu waktu mood dia ceria NTV7 la..kalau tak, kena buat muka penyu ajelah sambil tadah telinga..). Hurm, minggu depan dah start puasa, orang lain semua tukar waktu anjal bekerja, aku jugak la setia dengan WP3..kalau lambat jugak tak tahulah. *geleng kepala sambil terngiang-ngiang lagu Apa nak jadi - Tan Sri Dato' S.M. Salim kat telinga*

04 July, 2013

Tips mengilatkan kereta secara ekonomik

Kepada yang rajin membasuh sendiri kereta masing-masing, aku rasa tips ini amat berguna diaplikasi untuk mengilatkan kereta secara DIY. Jimat pun jimat okeh.

Bahan-bahannya :

1/2 baldi air paip
1 penutup penuh cecair pelembut fabrik

Cara-caranya :

1. Larutkan cecair pelembut fabrik bersama air tersebut.
2. Basahkan kain pengelap ke dalam larutan tersebut, perah dan lapkan pada padan kereta anda. Kalau terlebih rajin, boleh masukkan larutan tersebut ke dalam botol pengepam, semburkan pada seluruh badan kereta dan lap menggunakan kain lembab yang telah dibasahkan menggunakan larutan tersebut.
3. Biarkan seketika larutan itu pada badan kereta anda.
4. Lap badan kereta anda sehingga kering mengguna kain pengelap yang sama, pastikan kain tersebut lembab dan jangan tunggu sehingga larutan itu kering.
5. Ulang proses 2 - 4 sebanyak 4 - 6 kali (selagi korang rasa tak patah pinggang, lengan tak tumbuh otot..gosok jangan tak gosok noo)

Selain digunakan untuk mengilatkan kereta, larutan ini juga boleh dimasukkan ke dalam tangki air pengelap cermin untuk hasil bak mencurahkan air di daun keladi. Larutan ini tidak mengaratkan logam dan menghalang pengaratan (bak kata si pemberi tipsnya). Kredit kepada : kotikumpun



11 June, 2013

Speechless ibu, nak oii.


Budak di atas ni memang banyak ikut iras babahnya. Bak kata orang-orang tua, sejuk gitu. Harapnya cam gitu lah. Satu petang, dalam perjalanan balik lepas ambil si kinting dari tadika, seperti biasa, aku akan ajak si kinting menyembang.

Ibu : Anim ni macam rupa babah lah.
Si kinting : Mana ada, macam rupa ibu lah (dengan kening berkerut, macam keliru gayanya)
Ibu : Tak lah, Anim macam babah. Tengok muka Anim, mata Anim, hidung Anim, mulut Anim..semua macam babah.
Si kinting : Takkkk..Anim macam ibu. Anim kan girl. Ibu girl. Babah boy.
Ibu : Ye la, tapi muka Anim sama macam muka babah.
Si kinting : *Diam dengan muka blur dan kemudian bersuara* Tapi babah tu cekelat, Anim tak cekelat, mana samaaaaaaaaa.
Ibu : Errrrr.....*dalam hati : ibu pun cekelat jugak nak oii..cair sikit dari babah kamu je*

22 March, 2013

Doktor ke Tok Mudim?

Perbualan si kinting bersama aku, nenek & atuknya sewaktu kami dalam perjalanan untuk keluar makan malam minggu lepas.

Atuk : Dah besar nanti Anim nak jadi doktor kan? Anim nak 'check' atuk kalau atuk sakit kan?
Si kinting : Haah. Nanti Anim 'check' atuk, 'check' nenek. (Ini hasil pengaruh menonton kartun Doc Mcstuffin)
Nenek : Ibu, Anim xmo 'check' ke?
Si kinting: (Dengan suara serak-serak basah bernada nakal.) Ibu?  Haha..nanti Anim jadi doktor, ibu jaga-jaga haaa, Anim nak sunattttttt ibu (sambil jari buat bentuk gunting).
Ibu : Apersal nak sunat ibu pulak??? Ibu dah sunat lah. *gelak cover*
Atuk & Nenek : :))

21 February, 2013

Saya budak baru belajar


Sabtu lepas, untuk pertama kalinya aku diberi kepercayaan untuk menatarias (mekap lah senang cakap, ayat nak bombastik sajork khenn??! ini kira pertama kali mekap orang luar, sebelum ni aku berani mekapkan sedara-mara aje..) adik kepada x-kawan sepejabat aku, Huda namanya. Dia minta aku mekapkan dia untuk majlis bertandang. Dia mahukan mekap yang ringkas tanpa cukuran kening & bulu mata palsu.

Hasil sentuhan tangan yours truly yang tak seberapa. Nasib baik Huda kata okay. Legaaa ahkak.






20 February, 2013

Insiden iron board

Senyuman 'anak jantan'

Itu hasil memanjat iron board. Bawah dagu luka terbelah setengah inci, maka berjahitlah ia. Jadi 'hero' lah kejap si kinting semalam. Mujur lah dia tahan sakit. Kejadian terjadi waktu aku tengah bersiap-siap hendak ke klinik. Si kinting naik ke katil, kemudian dia letakkan tangan atas iron board yang aku tempatkan di sebelah katil menghadap tingkap. Tak pernah-pernah dia nak menjengah ke tingkap tu tapi petang semalam kemain bersungguh lagi. Aku dah tegur jangan panjat-panjat. Entah macam mana, secara tiba-tiba aje dia dah jatuh terduduk. Dan-dan tu lah dia buat muka cuak, aku tanya dia ada rasa sakit tak? Dia diam. Aku datang & peluk dia. Pujuk-pujuk sikit. Masa tu barulah dia menangis, aku ingatkan dia terkejut. Masa tu memang aku tak perasan dia ada luka sebab belek kaki tangan semua tak ada apa. Aku rasa badan dia berpeluh-peluh. Aku suruh dia mandi. Elok lepas mandi & bersiap, aku suakan dia susu. Kemudian aku perasan dekat dada dia macam ada kesan darah. Aku kesat, tapi tengok takde luka, cuma kesan kulit melelas & aku sapukan minyak gamat. Terus si kinting jadi sendu & bagitau esok dia tak boleh pergi sekolah. Aku tanya kenapa? Dia dongak. Terkejut aku tengok luka bawah dagu dia. Nampak daging gitu. Mujur takde darah keluar menjejes-jejes. Kalau tak, pingsan makkkk. Aku terus amik tisu, letak minyak gamat & tekapkan dekat luka. Patutnya si kinting jadi peneman aku jumpa doktor, tapi dengan dia-dia sekali jadi pesakit, malang tak berbau. Masa nak balik, jururawat dekat klinik tu siap tanya, patah tak iron board akak? Aku jawab, tak..terlipat dua aje..huhu.

Sempat lagi la menguli anak kucing lepas balik dari klinik tu.

10 February, 2013

Saya nak makan..

Perbualan semasa bergolek-golek bersama anakanda si kinting sambil menonton TV malam tadi :

Ibu : Saya nak makan budak domdimbob! Saya nak makan budak domdimbob! (dengan suara ala-ala mak lampir)
Si kinting :  Saya nak makan si kurusssss. Saya nak makan si kurussssss. (dengan nada suara garau, konon seram la tu)
Ibu : Si kurus tu siapa?
Si kinting : Ibu la..ibu kan kurus.
Ibu : Err... *keliru*

08 February, 2013

Aku adalah orang yang layak dipersalahkan

Mungkin nasib tidak menyebelahi aku, minggu ini aku agak 'serabut' di pejabat. Serabut tentang salah faham.
Pertama, aku dan seorang lagi rakan sekerja (kami berlainan seksyen) telah diarahkan (melalui emel) untuk mengeluarkan emel jemputan dan mendapatkan penyertaan untuk satu mesyuarat kelab di bawah kelolaan kementerian. Arahan itu diterima lewat petang, 2 hari sebelum mesyuarat tersebut. Disebabkan aku bercuti pada hari emel  arahan itu dihantar, maka aku telah membuat emel jemputan tersebut sebaik masuk pejabat keesokkan harinya. Elok ku tengah menaip, satu emel masuk ke inbox, emel berkenaan jemputan mesyuarat yang telah dihantar oleh rakan sekerja. Emel tersebut di alamatkan kepada kumpulan emel kelab kami. Maka pada aku, urusan jemputan sudah selesai dan aku menelefon rakan sekerja tersebut untuk memberi nama sambil bersembang-sembang tentang perihal mesyuarat yang dimaksudkan. Entah di mana silapnya, ada pihak tidak mendapat emel jemputan tersebut & mempersoalkan tentang akaun emelnya yang telah tiada di dalam kumpulan emel kelab kerana sebelum ini apa-apa emel yang dihantar kepada kumpulan emel kelab, akan beliau terima. Dan ini menyebabkan beliau terasa hati dan telah menSMS aku bertanya dan meluahkan perasaan. Maka aku pun menyemak senarai nama di dalam akaun emel kelab dan mendapati namanya ada cuma aku tidak pasti bagaimana namanya tiada di dalam kumpulan emel sewaktu emel itu dihantar. Aku cuba memberi penjelasan dengan mengatakan mungkin terdapat masalah teknikal pada akaun emelnya atau kumpulan emel kelab. Aku maklum bahawa senarai nama ahli di dalam kumpulan emel kelab bukan lah yang terkini dan aku telah memohon pihak ICT jabatan mengemaskinikannya (kerana aku tiada kuasa untuk purpose itu) dan aku juga maklum akaun emel beliau memang sudah berada di dalam senarai kumpulan emel kelab dan memang aku tidak dapat menebak mengapa, bagaimana dan bila akaun emelnya 'hilang/tiada'. Aku tidak mengiyakan spekulasi bahawa emel beliau telah dikeluarkan daripada kumpulan emel kelab walaupun itu yang didakwa. Aku juga tidak mengiyakan kemungkinan namanya dipadam secara tidak sengaja di dalam senarai sewaktu emel tersebut dihantar kerana bukan aku yang menghantarnya. Aku juga tidak pasti jika inbox emel beliau telah penuh sehingga emel yang dihantar akan 'bounced'. Untuk tidak mengeruhkan keadaan walaupun aku terasa seperti aku dipersalahkan, aku telah meminta maaf dan mengakui tidak melakukan semakan senarai nama kepada emel jemputan yang telah dihantar oleh rakan sekerja aku itu. Aku ingatkan cerita itu akan habis di situ, sehinggalah kami berurusan untuk urusan lain di telefon dan dia bertanyakan lagi tentang hal yang sama seperti tidak dapat menerima penjelasan yang telah diberi. Tetapi aku tetap memberi penjelasan yang sama seperti sebelumnya. Aku juga mengeaskan yang aku tiada kuasa untuk menambah atau memadam apa-apa di dalam senarai emel kumpulan bagi kelab kami, aku hanya boleh lihat sahaja. Tiada siapa yang hendak sabotaj siapa. TIADA. Dan emel dia masih ada di dalam kumpulan emel kelab seperti yang sepatutnya. Hmm... sungguh susah hendak puaskan hati manusia.

Kedua, isu kunci pejabat. Hendak dijadikan cerita, aku menghadiri satu mesyuarat yang lewat habisnya, lebih kurang jam 6.40 petang baru selesai. Aku memang tidak bajet mesyuarat tersebut akan berlarutan selewat itu. HP aku bateri pula sudah 'kong'. Anak di tadika belum berambil, kunci bilik aku yang pegang (atas persetujuan aku & rakan sekerja sebilik kerana ada urusan di luar), jadinya aku tidak dapat maklumkan pada En.F untuk ambilkan si kinting & tak dapat maklumkan kepada rakan sekerja sebilik yang aku balik lewat. Kebetulan, laptop dan projektor mesyuarat telah diamanahkan kepada aku untuk dipulangkan. Maka, aku perlu ke seksyen ICT jabatan untuk pulangkan laptop dan projektor tersebut tetapi pintu telah berkunci, suasana di dalam pejabat gelap. Jadi aku mengangkut bebarang itu ke pejabat aku. Elok aku masuk, aku dengar bunyi pintu utama pejabat ditutup dan aku bergegas mendapatkan orang yang menutup pintu itu. Aku tanyakan kepada beliau sama ada beliau ada memegang kunci pejabat, beliau kata takde. Aku tanyakan lagi, siapa yang ada lagi, dia kata tidak tahu. Ok fine, dalam hati pelik sebab beliau boleh menonong balik meninggalkan pejabat sebegitu. Keadaan pejabat sunyi dan samar-samar kerana banyak lampu yang telah ditutup secara automatik. Aku pun menuju ke bilik dan mengemas apa yang patut. Kemudian aku meninjau sekeliling pejabat untuk memastikan sekiranya ada sesiapa lagi yang tidak pulang tetapi tiada, lalu aku turun ke tingkat bawah dan menanyakan kepada pengawal keselamatan sekiranya ada sesiapa yang telah memulangkan kunci pejabat aku. Mereka kata tiada, di buku daftar pun hanya ada nama pegawai yang mengambil kunci. Aku naik semula ke pejabat dan pergi mendapatkan nombor beberapa orang pegawai yang aku rasa boleh aku hubungi untuk bertanyakan perihal kunci itu. Aku cas HP aku di bahagian luar pejabat, mujurlah ada suis, boleh lagilah HP aku untuk bernyawa di waktu kecemasan begini. Malangnya, satu pun panggilan aku tidak berjawab. Di dalam kalut apa lagi yang patut aku buat, pegawai dari seksyen ICT jabatan menghubungi aku untuk mendapatkan laptop dan projektor yang dipinjam. Aku pun cuak juga hendak meninggalkan bebarang itu di pejabat sebab kunci pejabat entah kemana. Maka, eloklah dipulangkan sahaja. Elok selepas pegawai itu keluar dari pejabat, aku kuncikan pintu masuk pejabat dari dalam & keluar melalui pintu belakang. Pintu belakang tersebut pula tidak perlu dikunci kerana hanya boleh dibuka dibahagian dalam sahaja. Maka turunlah aku menggunakan tangga dan aku maklumkan keadaan pejabat aku kepada pengawal keselamatan yang bertugas & aku pun pulang. Keesokan paginya aku menerima panggilan telefon dari teman sepejabat yang bertanyakan perihal kunci. Kecoh la pejabat aku pagi itu kerana masing-masing tidak dapat memasuki pejabat sehingga terpaksa meminta bantuan daripada pihak Sumber Manusia kementerian untuk mendapatkan kunci pendua dan aku tidak pasti sama ada kunci yang sepatutnya telah dijumpai. Siapa yang pegang kunci itu juga tidak diketahui hanya ada spekulasi begitu begini. Nama aku pun naik sama sebab aku orang terakhir yang balik di hari kejadian dan aku telah menyusahkan orang lain di pagi hari. Apa boleh buat, daripada nama aku naik kerana kelalaian membiarkan pintu pejabat tidak berkunci dan dicerobohi pihak tidak bertanggungjawab, baiklah aku kunci. Cuma mungkin lah kan, SEPATUTNYA aku kena hubungi kesemua rakan sepejabat seramai 74 orang sehingga dijawab dan tunggu sehingga kunci tersebut dijumpai baru boleh pulang dan tidak menyusahkan orang, huhu.

05 February, 2013

Ke laut

Semalam aku menghadap kertas pertama untuk peperiksaan akhir semester ini, subjek Sistem Cerdas atau mengikut bahasa terjemahan Google Translate; Kecerdasan Buatan atau singkatan glamornya, AI (macam lah orang tak tahu Nina oii!!) Ala, saja nak bagi ayat mukadimah panjang sikit, boleh gitu?


Sadis jugak la cara aku menjawab semalam. Soalan yang patut lukis graf, aku tak buat graf. Soalan yang patut aku jelaskan dengan diagram yang lengkap, aku buat diagram tak habis, 'goreng' pun ntah apa-apa yang digoreng. Soalan yang direct to the point pun aku bebal nak jawab. Setakat tricky sikit terus gelabah buat rules sendiri padahal bukan tak pernah buat. Bluerghh. Terlebih buat penaakulan mantik cenggini la jadinya. Kenapa la aku tak terfikir nak jawab macam mana yang sepatutnya aku jawab, 'cerdas' la sangat kaedahnya. Sobs. Rasa macam nak ambil balik paper ni. Tapi takkan nak repeat paper kot. Repeat order makan ker, order baju bajan ker, lain la. Uhuk, sungguh pilu bak awan terpilu hati ini.

Agenda nak pekena Subway lepas habis exam, terus tak jadi. Tetiba takde selera. Takde selera nak makan Subway la, selera nak melantak benda lain tetap ada, tu yang elok sampai rumah, aku ajak En.F & si kinting layan Malee Seafood kat Dengkil. Motif utama nak makan sotong celup tepung tapi failed big time. Rasa macam makan cekodok kunyit. Dalam cekodok ada la sotong seciput, macam kalau kita potong sotong bulat-bulat tu, yang bulat-bulat tu dia potong separuh, dah la saiz sotong kecik bila dah potong macam tu haruslah rasa sotong sekadar di celahan gigi aje. Apa dah jadi ni Malee? Bila perut lapar, kepala berat & hati awan terpilu, memang benda kecil macam tu pun dah tak boleh dibawa tolak ansur. Terus pangkah restoran tu. Saya mesti tak pilih!

Apapun, perjuangan perlu diteruskan. Ada lagi 3 subjek menanti. Terimalah muka orang yang mengenang barang yang lepas. Tak boleh blah punya kuciwa (padahal macam mintak penampo aje gayanya.)


:P

19 January, 2013

Budak kolej

       Aku adalah salah seorang penghuni hostel kolej aku yang kurang semenggah. Mengapa kurang semenggah? Kerana asalnya hostel itu adalah sebuah lapangan tempat letak kereta bertingkat dan telah diubahsuai menjadi tempat penginapan pelajar yang telah bertahun usianya sebelum aku menginap disitu. Ia punya pagar yang jaraknya lebih kurang 2 langkah dari tingkap bilik dengan kondisi yang kurang boleh dipercayai untuk tidak dicerobohi. Juga terletak bersebelaham bangunan pejabat yang tidak happening. Ada lot di dalam bangunan itu yang disewakan sebagai asrama pekerja kilang berdekatan.

       Tetapi, iyelah..buruk-buruk pun, horror-horror pun, di situ lah aku menginap dari semester 1 - 6 untuk menimba ilmu. Ditambah 1 semester dengan menyewa pangsapuri di Pandan Jaya (ini kes terpaksa mengulang subjek Calculus II di semester 4, maka terpaksa lepaskan paper itu sebelum mengambil Linear Algebra & Operational Research. Dasar bengap matematik & pemalas buat latihan, memang itulah makan dia. Padan muka). Kalau tidak kerana pihak pengurusan kolej hendak menutup hostel tersebut, sudah tentu aku adalah penghuni super-senior di situ. Bhaha. *Gelak cover*

1. Misteri nusantara

(i) Kena tindih. Sampai berterabur aku baca Al-fatihah & Ayatul Qursi. Kadang-kadang sampai tak boleh baca apa pun, macam mulut terkunci rapat. Dulu-dulu memang mati-matilah aku percaya ada 'benda' yang menindih, mana lah nak tahu rupanya ada penjelasan saintifik berkenaan kejadian tersebut yang dirujuk sebagai sleep paralysis. Apapun, hanya Dia lebih mengetahui apa sebenarnya.

(ii) Diraba tangan berbulu. Dalam setiap bilik ada 2 buah katil double decker. Aku adalah salah seorang yang tidur kat katil atas. Adalah satu malam tu, aku terasa macam ada benda merayap dekat badan aku. Macam tangan orang. Aku sedar tapi mata ni macam susah sangat nak dibuka. Kalaupun tangan, tangan siapa la yang panjang sangat kan? Maka aku beranikan diri menyentuh tangan yang gatal itu, geli geleman aku jadinya bila tangan yang aku sentuh itu terasa besar, kasar, berbulu & sejuk. Terus kecut ati aku. Tapi aku beranikan diri menepis tangan tersebut daripada terus merayap. Elok 3,4 kali tepis, dia hilang. Aku cuak, takut akan terus diganggu, scary hoi terbayang ada 'benda' sedang menggatal dengan aku. Alhamdulillah, malam-malam seterusnya aku tidak diganggu oleh penyumbaleweng dari dunia sebelah itu.

2. Makan-makan

(i) Aku tidaklah pernah merasa makan mi segera dalam baldi mahupun gayung. Paling-paling pun letak dalam mangkuk, masukkan air panas & tutup dengan pinggan. Sebagai salah satu langkah penjimatan, roomate aku telah membawa rice-cooker ibunya untuk tujuan masak-memasak. Dengan rice-cooker itu lah kami masak nasi, buat nasi goreng, makaroni goreng dan panaskan lauk. Guna perencah nasi & mi goreng je pun tapi sedapppp..hoho. Dek kerana ramai pelajar lain yang mengamalkan budaya memasak menggunakan rice-cooker ini sehingga menyebabkan kejadian litar pintas yang kerap, maka alat elektrik itu telah di haramkan. Kempunan lah aku nak makan nasi goreng & makaroni goreng dari periuk nasi elektrik lagi. Approach ni aku aplikasikan untuk memasak masa baru kawen dulu sebab tak beli dapur gas lagi, periuk elektrik la jadi mangsa.

(ii) Sesekali waktu 'poket tebal' sikit, aku dan kawan-kawan akan keluar makan di mapley. Siapa-siapa yang semedang melepak ni mapley untuk makan adalah seorang yang mewah pada aku. Dan menu seperti ada nasi goreng USA kira dah paling best la kalau order makan kat situ.

(iii) Gerai-gerai tepi jalan dan depan hostel yang menggamit memori. Kebanyakkan dari kami akan ada lauk default. Macam aku, tak sah kalau takde sambal tempe atau kurma ayam, kawan aku hari-hari dia bantai makan lauk sambal ikan bilis, tengok tubuhan dia pun dah macam orang tulang besi urat dawai jadinya. Banyak kalsium kan.

(iv) Mi segera goreng mamak tepi jalan yang tiada tandingan. Gerai dia macam gerai burger aje. Ada dapur seketul untuk goreng-menggoreng. Aku dah macam orang ketagihan sampai sanggup lah perhati satu-persatu cara mamak tu buat mi segera goreng, tapi bila buat sendiri, semedang tak puas hati. Baik rupa atau rasa, sikit pun tak menjadi.

3.  Aktiviti senggang

(i) Selain bertidur-tiduran, selalunya aku akan menghabiskan masa bersendirian di roof-top hostel. Selalu aku akan lepak dekat roof-top waktu takde orang (hujung minggu). Situ lah tempat nak melayan hati kama, situ lah tempat nak melepas rasa dan situ lah tempat nak berangan-angan. Roof-top ni juga selalu menjadi port kegemaran bebudak hostel puteri untuk mandi hujan ala-ala dalam iklan. Tapi dalam bilik aku, aku sorang aje budak yang hiper bila part mandi hujan, yang lain tak hairan. Roof-top ini juga adalah kawasan strategik untuk sidai baju, kalau kena waktu panas terik, sekejapan aje boleh kering. Tapi kalau tahu sidai tapi lupa nak angkat jemuran maka ada 'can' kain baju reput sesaja kat roof-top tu. Selalu yang pelupa adalah bebudak dari aras bawah-bawah (macam aku..huhu). Kadang-kadang, memang tak lupa tapi kalau dah lewat petang baru nak angkat baju, baik lah tunggu hingga esok sahaja daripada 'ditegur' secara tiba-tiba.

(ii) Dulu aku tak pandai nak bershopping. Aktiviti itu tak termasuk dalam agenda kalau ada duit saku lebih. Sekadar nak menggantikan baju/kasut/beg/tudung yang buruk adalah. Selalunya aku lebih suka berjoli dengan menonton wayang. Nak-nak bila ada partner in crime. Pantang ada cerita baru, kami mesti ngedet tengok wayang. Tak payah pergi jauh-jauh, setakat shopping kompleks dekat area Taman Miharja tu pun jadi. Aku dah lupa nama tempatnya, ntah ada ntah idak lagi sekarang ni. Dulu kat shopping mall tu ada hypermarket Extra. Dari kolej, kami amik LRT ke stesen Miharja kemudian jalan kaki ke shopping kompleks tu. Excited nak tengok wayang, sampai kami berdua pernah kena kejar dek anjing. Aku rasa aku pernah cerita pasal kes ni. Merasa la aku feeling Watson Nyambek masa tu.

(iii) Mentenet di cyber-cafe. Aku dulu kaki chatting. Setakat datang cyber-cafe buat assignment, it's sooo not me. Mesti nak berchatting sekali. Ada juga la aku ajak kawan aku  berchatting-chattingan ni tapi yang addictednya aku sorang. Setakat melepak dekat CC sorang-sorang baik siang atau malam tak jadi hal lah. Bila difikir-fikir, macam bodoh pun ada time tu sebab aku berani je jumpa ngan chatter yang tak dikenali even baru sekali dua chatting. Seingat aku, chatter yang aku pernah jumpa adalah ex-bf psiko, En.F ngan sorang lelaki matang. Semua jumpa one to one. Giler berani tak bertempat aku time tu. Tapi yang paling sengal, masa aku jumpa ngan lelaki matang tu. Aku rasa masa tu dia umur 30-an kot..tu yang aku panggil lelaki matang. Dia jemput aku dengan kereta. Selamba badak je aku naik kereta dia & kitaorang pergi makan dekat area Jalan Peel & lepas tu dia hantar aku balik. Dia cakap dia nak jumpa aku lagi tapi aku dah berniat dalam tukar nickname, tak nak dah chat/jumpa dia lagi. Rasa macam tak muda-mudi je keluar dengan dia. Huhu. Choyyy sangat khenn. Tapi tu la, masa tu memang singkat pikiran. Mujur la takde jadi benda tak diingini. Kalau dibuatnya lelaki matang tu psiko ke, gila seks ke, tak pasal-pasal jadi headline Harian Metro dah time tu.

4. Tingkahlaku pelik

(i) Disebabkan kawasan kolej aku terletak di dalam kawasan perindustrian, maka terdapat banyak warganegara asing yang bekerja di sekitar situ. Ada waktu-waktu kami akan melalui jalan yang sunyi untuk ke stesen LRT atau ke pasar malam Pandan Jaya, jadi bila terpapasan dengan orang-orang yang dicurigai, aku akan kelepetkan tudung menutupi dahi dan kembangkan hidung sambil buat muka garang. Saja bagi si gatal miang hilang selera nak mengacau.

(ii) Kawan aku pulak pernah buat benda yang sama dalam bas, tapi dia kembangkan hidung sambil julingkan mata bila ada abang gatal asyik dok usha dia. Sukses!

Err..cukup sampai sini kisah kenangan budak kolej untuk kali ini. 

18 January, 2013

Meroyan


Aku rasa aku tak kisah. Tapi lama-lama aku rasa aku macam kisah. Kisahnya adakah kisah menambah anak. Asal sahaja ada ahli keluarga, saudara mara, sahabat handai atau kenalan yang sudah mengandung/bersalin, pasti ada insan yang sangat suka bertanya, "Kak long/Nina/Engkau/Awak bila lagi?", "Tak teringin nak tambah ke?", "Tasnim nak adik tu, kesian dia main sorang-sorang, cepatlah tambah.", malah siap ada yang ajak berlumba untuk cepat-cepat mengandung. Dulu-dulu masa si kinting umur 2,3 tahun aku tak ambil 'port' sangat dengan semua kata-kata berbaur nista prihatin tu tapi lama-lama aku rimas jugak. Sementelah dah masuk usia 30-an ni kan, ramai sangat yang cakap susah mengandung dalam usia sebegini, kudrat dah tak sama macam mereka yang 20-an. Bukanlah aku nak kata aku ni kuat hebat, kalau ditakdirkan mengandung dalam usia 30-an, takde hal punya. Tidak lah. Aku akui akan kebenaran pernyataan tersebut tapi perlu ke asal topik mengandung aje, nak mentioned rugi lengah-lengahkan diri mengandung. Aku ini sejak usia si kinting hendak masuk 2 tahun, tidak pernah lah merancang. Sebelum itu, adalah aku ambil pil perancang untuk sebulan disebabkan makcik Juli bising aku rileks aje takde ambil apa-apa action untuk merancang keluarga. Makcik Juli risau aku 'berisi' lagi waktu beranak kecil. Beliau pernah cakap seeloknya aku tunggu si kinting tu dah umur 4,5 tahun baru mengandung balik. Konon nak tunggu keadaan kewangan aku & En.F stabil. Ok fine, aku terima nasihat beliau tapi pada aku, kalau dah rezeki aku terima aje. Pada aku, kalau dapat gap 2 tahun pun kira ok dah tu. Tapi di pihak aku hanya mampu berusaha. Tahun ni si kinting dah nak masuk 5 tahun, jadi bila orang sekeliling masih gunakan ayat-ayat cinta yang sama, kekadang datang juga rasa jengkel. Sebab ada yang anggap aku ni memang sengaja tak nak mengandung lagi sebab nak JAGA BODY & MASIH BELAJAR. Bila masa ntah aku jadikan semua tu sebagai alasan. Orang lain yang suka-suka buat spekulasi, aku pula yang dipandang serong. Aku ni bukan taksub jaga badan tak bertempat adik/kakak oi. Isteri mana yang tak mahu bergelar ibu berkali-kali. Ibu mana yang tak mahu punya anak-anak penawar hati tapi mungkin aku kena terus berusaha dengan sabar & serahkan selebihnya pada Dia, yang lain-lain tu cubalah jangan jadi lebih sudu dari kuah. Kang ada yang makan sudu sampai patah gigi..hihi. Dan walaupun aku mengakui bekerja sambil belajar adalah sesuatu yang sukar, tetapi apabila melihatkan rakan-rakan sekelas yang memboyot & dalam pantang gigih ke kelas, gigih buat assignment/projek/presentation, gigih ambil exam..itu semua sedikit sebanyak telah membukakan hati untuk menyahut cabaran menjadi pelajar 'buyung' tetapi cuma belum ada rezeki lagi. Fahammmmmm???

Sekian.

11 January, 2013

Oh, bahasa saya

Semalam kami ada midsem exam untuk subjek Analisis dan Rekabentuk Alkhawarizmi. Subjek ni diajar oleh pensyarah India. No offense ok. Bukan nak kutuk dia ke apa. Just gelihati pulak aku dengar cerita kawan aku, Nat which aku tak sempat bersama-sama terbabit dalam kejadian tu sebab aku sampai kampus (kampus? skema seyy..) lewat sikit semalam. Nasib baik la sempat jawab semua soalan tapi betul tak betul tak tahulah. Macam jawab syok sendiri je walaupun 'open book' kaedahnya. Matiklah haih. Classmate aku yang lelaki yang takde sengugut pun boleh tetiba dapat angin sengugut menghadap subjek ni. Oklah, berbalik pada cerita pensyarah aku tadi, Nat bagitau pensyarah kami tu maklumkan yang mukasurat kosong pada kertas soalan boleh digunakan untuk mencakar; makluman tersebut disampaikan dengan muka berkeyakinan tinggi & coolio seperti selalu. Dan secara automatik, hampir sekelas serentak balas; "Hah..cakar??" Tersipu-sipu lah pensyarah tersebut dengan respon para pelajarnya itu. Aku boleh bayang la kesipuan dia tu..mihmihmih. Nak cover punya pasal, dia balas balik, "Maksud saya, conteng."
Dan elok sahaja habis jawab paper, dia sambung mengajar pula. Ada yang dah simpan buku & kemas beg, aku dah siap pegang kunci kereta, kawan aku ada yang dah siap galas beg tapi demi menghabiskan chapter Transform & Conquer punya pasal, kami turutkan niat murni pensyarah kami itu. Memang naik syeikh betul lah dia.