08 February, 2013

Aku adalah orang yang layak dipersalahkan

Mungkin nasib tidak menyebelahi aku, minggu ini aku agak 'serabut' di pejabat. Serabut tentang salah faham.
Pertama, aku dan seorang lagi rakan sekerja (kami berlainan seksyen) telah diarahkan (melalui emel) untuk mengeluarkan emel jemputan dan mendapatkan penyertaan untuk satu mesyuarat kelab di bawah kelolaan kementerian. Arahan itu diterima lewat petang, 2 hari sebelum mesyuarat tersebut. Disebabkan aku bercuti pada hari emel  arahan itu dihantar, maka aku telah membuat emel jemputan tersebut sebaik masuk pejabat keesokkan harinya. Elok ku tengah menaip, satu emel masuk ke inbox, emel berkenaan jemputan mesyuarat yang telah dihantar oleh rakan sekerja. Emel tersebut di alamatkan kepada kumpulan emel kelab kami. Maka pada aku, urusan jemputan sudah selesai dan aku menelefon rakan sekerja tersebut untuk memberi nama sambil bersembang-sembang tentang perihal mesyuarat yang dimaksudkan. Entah di mana silapnya, ada pihak tidak mendapat emel jemputan tersebut & mempersoalkan tentang akaun emelnya yang telah tiada di dalam kumpulan emel kelab kerana sebelum ini apa-apa emel yang dihantar kepada kumpulan emel kelab, akan beliau terima. Dan ini menyebabkan beliau terasa hati dan telah menSMS aku bertanya dan meluahkan perasaan. Maka aku pun menyemak senarai nama di dalam akaun emel kelab dan mendapati namanya ada cuma aku tidak pasti bagaimana namanya tiada di dalam kumpulan emel sewaktu emel itu dihantar. Aku cuba memberi penjelasan dengan mengatakan mungkin terdapat masalah teknikal pada akaun emelnya atau kumpulan emel kelab. Aku maklum bahawa senarai nama ahli di dalam kumpulan emel kelab bukan lah yang terkini dan aku telah memohon pihak ICT jabatan mengemaskinikannya (kerana aku tiada kuasa untuk purpose itu) dan aku juga maklum akaun emel beliau memang sudah berada di dalam senarai kumpulan emel kelab dan memang aku tidak dapat menebak mengapa, bagaimana dan bila akaun emelnya 'hilang/tiada'. Aku tidak mengiyakan spekulasi bahawa emel beliau telah dikeluarkan daripada kumpulan emel kelab walaupun itu yang didakwa. Aku juga tidak mengiyakan kemungkinan namanya dipadam secara tidak sengaja di dalam senarai sewaktu emel tersebut dihantar kerana bukan aku yang menghantarnya. Aku juga tidak pasti jika inbox emel beliau telah penuh sehingga emel yang dihantar akan 'bounced'. Untuk tidak mengeruhkan keadaan walaupun aku terasa seperti aku dipersalahkan, aku telah meminta maaf dan mengakui tidak melakukan semakan senarai nama kepada emel jemputan yang telah dihantar oleh rakan sekerja aku itu. Aku ingatkan cerita itu akan habis di situ, sehinggalah kami berurusan untuk urusan lain di telefon dan dia bertanyakan lagi tentang hal yang sama seperti tidak dapat menerima penjelasan yang telah diberi. Tetapi aku tetap memberi penjelasan yang sama seperti sebelumnya. Aku juga mengeaskan yang aku tiada kuasa untuk menambah atau memadam apa-apa di dalam senarai emel kumpulan bagi kelab kami, aku hanya boleh lihat sahaja. Tiada siapa yang hendak sabotaj siapa. TIADA. Dan emel dia masih ada di dalam kumpulan emel kelab seperti yang sepatutnya. Hmm... sungguh susah hendak puaskan hati manusia.

Kedua, isu kunci pejabat. Hendak dijadikan cerita, aku menghadiri satu mesyuarat yang lewat habisnya, lebih kurang jam 6.40 petang baru selesai. Aku memang tidak bajet mesyuarat tersebut akan berlarutan selewat itu. HP aku bateri pula sudah 'kong'. Anak di tadika belum berambil, kunci bilik aku yang pegang (atas persetujuan aku & rakan sekerja sebilik kerana ada urusan di luar), jadinya aku tidak dapat maklumkan pada En.F untuk ambilkan si kinting & tak dapat maklumkan kepada rakan sekerja sebilik yang aku balik lewat. Kebetulan, laptop dan projektor mesyuarat telah diamanahkan kepada aku untuk dipulangkan. Maka, aku perlu ke seksyen ICT jabatan untuk pulangkan laptop dan projektor tersebut tetapi pintu telah berkunci, suasana di dalam pejabat gelap. Jadi aku mengangkut bebarang itu ke pejabat aku. Elok aku masuk, aku dengar bunyi pintu utama pejabat ditutup dan aku bergegas mendapatkan orang yang menutup pintu itu. Aku tanyakan kepada beliau sama ada beliau ada memegang kunci pejabat, beliau kata takde. Aku tanyakan lagi, siapa yang ada lagi, dia kata tidak tahu. Ok fine, dalam hati pelik sebab beliau boleh menonong balik meninggalkan pejabat sebegitu. Keadaan pejabat sunyi dan samar-samar kerana banyak lampu yang telah ditutup secara automatik. Aku pun menuju ke bilik dan mengemas apa yang patut. Kemudian aku meninjau sekeliling pejabat untuk memastikan sekiranya ada sesiapa lagi yang tidak pulang tetapi tiada, lalu aku turun ke tingkat bawah dan menanyakan kepada pengawal keselamatan sekiranya ada sesiapa yang telah memulangkan kunci pejabat aku. Mereka kata tiada, di buku daftar pun hanya ada nama pegawai yang mengambil kunci. Aku naik semula ke pejabat dan pergi mendapatkan nombor beberapa orang pegawai yang aku rasa boleh aku hubungi untuk bertanyakan perihal kunci itu. Aku cas HP aku di bahagian luar pejabat, mujurlah ada suis, boleh lagilah HP aku untuk bernyawa di waktu kecemasan begini. Malangnya, satu pun panggilan aku tidak berjawab. Di dalam kalut apa lagi yang patut aku buat, pegawai dari seksyen ICT jabatan menghubungi aku untuk mendapatkan laptop dan projektor yang dipinjam. Aku pun cuak juga hendak meninggalkan bebarang itu di pejabat sebab kunci pejabat entah kemana. Maka, eloklah dipulangkan sahaja. Elok selepas pegawai itu keluar dari pejabat, aku kuncikan pintu masuk pejabat dari dalam & keluar melalui pintu belakang. Pintu belakang tersebut pula tidak perlu dikunci kerana hanya boleh dibuka dibahagian dalam sahaja. Maka turunlah aku menggunakan tangga dan aku maklumkan keadaan pejabat aku kepada pengawal keselamatan yang bertugas & aku pun pulang. Keesokan paginya aku menerima panggilan telefon dari teman sepejabat yang bertanyakan perihal kunci. Kecoh la pejabat aku pagi itu kerana masing-masing tidak dapat memasuki pejabat sehingga terpaksa meminta bantuan daripada pihak Sumber Manusia kementerian untuk mendapatkan kunci pendua dan aku tidak pasti sama ada kunci yang sepatutnya telah dijumpai. Siapa yang pegang kunci itu juga tidak diketahui hanya ada spekulasi begitu begini. Nama aku pun naik sama sebab aku orang terakhir yang balik di hari kejadian dan aku telah menyusahkan orang lain di pagi hari. Apa boleh buat, daripada nama aku naik kerana kelalaian membiarkan pintu pejabat tidak berkunci dan dicerobohi pihak tidak bertanggungjawab, baiklah aku kunci. Cuma mungkin lah kan, SEPATUTNYA aku kena hubungi kesemua rakan sepejabat seramai 74 orang sehingga dijawab dan tunggu sehingga kunci tersebut dijumpai baru boleh pulang dan tidak menyusahkan orang, huhu.

3 comments:

  1. hu2.. beraninya kamu. kalau saya lah... tak tunggu dah bile pejabat dah bergelap dan takde org camtu... seram!

    ReplyDelete
  2. Giler2 juga org kat opis kakak panjang ekk ahahaha adoila kesian betul buat baik pon kene mcm tue gaks eh opis kita pon sama ahahaha

    ReplyDelete
  3. @lady scooter : masa tu memadang dah meremang-remang bulu roma, lepas tu dengar memacam bunyi dari aras atas macam ada orang bz buat kerja tp buat x tahu ajelah. nak biarkan pintu pejabat x berkunci boleh & lapor dekat gurad, tp dorang x boleh buat apa jg sbb dorang xde kunci spare untuk tlg kuncikan. risikonya kalo pape jadi..sila redha jadi suspek utama. huhu. tu yang serba salah tu.

    @annapeje haha..kalo gila-gila macam majalah kartun tu akak suka je, ni ada yg psiko tahap gaban..sabar je la. kalo benda dh jadi, ramai tau nak lepaskan diri sendiri je. adat dunia kan?

    ReplyDelete

care to drop a comment? thanx! ;-)