09 May, 2016

Pukau kah itu?

Terjadi pada aku lebih kurang dua bulan yang lalu. Tak pasti samada itu pukau atas kecuaian sendiri. Tapi yang pasti, duit dalam dompet berkurang. Dan aku pasti nilai yang sepatutnya sebab memang aku kira berkali-kali sebelum kejadian itu terjadi.

Ketika itu aku berhajat mencari telefon bimbit baru, bukanlah hendak cari yang canggih-manggih, hanya berhajat mencari telefon pintar yang biasa-biasa. Maka En.F telah mengajak pergi ke suatu tempat di PJ. Dalam perjalanan pergi, aku merancang untuk mengeluarkan duit di ATM kerana merancang untuk asingkan siap-siap duit kereta sekiranya En.F singgah ke stesen minyak berdekatan rumah, tetapi beliau terus memandu, katanya lepas selesai urusan membeli baru pergi isi minyak.

Sampailah kami ke tempat yang dituju setelah berputar-putar juga mencari. Dan sampailah hajat aku untuk membeli sebiji telefon pintar mengikut bajet yang ada. Sewaktu membayar, aku kira jumlah duit yang di bawa. Kira sebetul mungkin. Kemudian, kira baki duit yang tinggal lagi. Dalam perjalanan pulang, En.F singgah ke sebuah stesen petrol. Kebetulan di situ ada ATM, tanpa berfikir panjang, aku mengambil keputusan untuk mengeluarkan duit di situ. Suasana di stesen petrol itu sedikit sunyi. Keadaan di jalanan dan persekitaran juga sunyi. Pada anggapan aku, mungkin lah kerana hari itu hari minggu.

Masuklah aku ke dalam kedai di stesen itu bersama anak-anak. Di dalam kedai, selain 2 orang pekerja, seorang di kaunter, dan seorang duduk menyusun barang, ada 2 orang pelanggan. Seorang lelaki yang baru selesai menggunakan ATM, dia menuju ke kaunter seketika lalu keluar ke kereta & seorang pakcik tua. Aku terus menuju ke ATM. Dalam pada sedang menekan-nekan kekunci di ATM, aku perasan, seorang lelaki seperti warga asing, sedikit comot dan berbut hitam sedang beratur di belakang aku, agak rapat. Kelibat dia ada secara tiba-tiba. Bila aku menoleh, dia beralih ke sisi sambil memandang aku dengan pandangan yang tajam. Aku menoleh ke belakang, pakcik tua yang berdiri di depan pintu kedai memandang aku semacam. Terus aku jadi tidak sedap hati. Sambil meneruskan transaksi, aku menguatkan suara memanggil cik kinting dan adiknya berkali-kali.  Cepat-cepat aku masukkan duit ke dalam dompet. Aku tidak mengira jumlahnya. Tapi aku pasti tidak ada yang tercicir. Aku terus menghampiri anak-anak dan membelikan mereka kudap-kudapan. Lelaki comot terus mengambil tempat depan ATM.

Di luar, En.F sudah selesai mengisi minyak. Dia menunggu di dalam kereta tanpa mengesyaki apa-apa. Dek kerana tidak sedap hati, aku kira jumlah duit yang aku keluarkan di ATM tadi. Sewaktu sedang mengira, seperti dalam bayangan, aku nampak sekeping not RM100 seperti melayang-layang dan menghilang. Dan jumlah duit yang aku kira memang kurang seratus. Dan aku kira duit sediada di dalam dompet, duit baki dari membeli telefon bimbit tadi. Juga sudah kurang RM 50. Aku ingat keciciran di dalam kereta, jenuh bangun beralih duduk, malah keluar dari kereta dan masuk semula ke dalam kedai untuk memastikan sekiranya memang duit itu keciciran. Tiada.  Lelaki comot itu pula, baru berjalan pergi dari situ. Pada ketika aku jadi syak wasangka, pada lelaki comot yang memandang tajam, pada pekerja stesen yang berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku, kerana aku teringatkan insiden di dalam kedai sebelum itu. Berdebar-debar bila mengingatkannya. Tapi mungkin sudah tertulis itu bukan rezeki aku. Kecuaian itu sebagai asbabnya. Mujur juga tidak sampai berputih mata sekiranya semuanya lesap, sesen pun tiada.

Dan masih, kejadian itu adalah trauma.

07 May, 2016

Yang gemuk, yang kurus

Apakah respon yang perlu di beri kepada kengkawan yang asal berjumpa, soalan defaultnya adalah :

i. "Eh, gemuk kau sekarang ye?";
ii. "Kenapa engkau gemuk sekarang?" atau
iii. "Tembamnya kau; dan seangkatan dengannya.

Apakah jawapan bernas yang boleh diberi?

i. " Ye, memang aku gemuk sekarang, sebab aku bahagia." sambil pasang lagu tema AADC dan flip tudung ke kanan ke kiri - klise sangat tak?
ii. " Ye aku gemuk sebab aku makan banyak, bersenamnya malas. Kau rasa ada sebab lain ke?"
iii. "Ye, aku gemuk sebab aku tak pandai jaga badan. Bukan macam kau, body maintain macam anak dara." 
iv. "Ye, memang aku gemuk sekarang sebab aku asyik makan untuk hilangkan tekanan hidup, hidup kau stress-free, sebab tu kau kurus, selim melim cikeding walau dah beranak dua. Ai is jeles to yu." - Panjang, padat, puji memuji, amacam?
v. "Biasalah, dah beranak pinak, kecenderungan untuk bertambah berat badan tu memang tak dapat nak elak, aku bukan tak diet, tapi diet tak menyebelahi aku." sambil cengkam atau tepuk babat diperut seraya berkata, "bikin malu, bikin malu, bikin maluuuuUUUuuuuuuu!!"
vi. "Aku yang gemuk, kau yang panas, kau dah kenapa?"
vii. "Kau dah takde soalan lain ye? Next question please. Ai is sensitive." sambil gelak evil sampai meremang bulu roma. Saja la buat-buat psiko. Sakit jiwa dengan soalan dia.
viii. "Kau tanya-tanya ni, kau nak promote ubat kurus kat aku ye?"

Dan kalau dah kurus, ada soalan lain pula. Huh.